Siapalah Aku

Semasa mengemas-ngemas file yang ada, saya terjumpa puisi ustaz saya. Tanda ingatan saya terhadap Ustaz Che Abdul Majid Che Omar, pensyarah bahasa Arab saya semasa di Pusat Matrikulasi UIA Petaling Jaya yang amat berjasa, maka saya taipkan semula untuk tatapan semua..


Siapalah aku sebelum kelahiran

Tiada bernama juga gelaran

Wujudku nanti bukan hiburan

Mengenal Tuhan segala kebesaran


Siapalah aku setelah kelahiran

Datangku bersama tangisan kedengaran

Lahirku kini mula pelayaran

Mengharungi kehidupan penuh cabaran


Siapalah aku di bumi raya

Kerdil lemah mudah terpedaya

Menjadi khalifah kedudukan mulia

Memikul amanah sedaya upaya


Siapalah aku tiada bertuhan

Kukuhkah berpaut dahan kerapuhan

Sampaikah tujuan tanpa arahan

Atau keletihan dalam kebodohan


Siapalah aku dalam kehidupan

Sekadar waktu buat persiapan

Usah jadikan dunia harapan

Semoga kalimah Tuhan akhir ucapan


Siapalah aku tidak lagi bernyawa

Berpisah keluarga harta teman ketawa

Cuma membawa amal bersama

Bila di mana kembali bersua


Siapalah aku sesudah mati

Soalan kubur sedia menanti

Tiada terlepas semuanya pasti

Beruntungnya aku hidup berbakti


Siapalah aku tatkala kiamat

Permulaan hari tiada penamat

Mendapat balasan ataupun nikmat

Semoga beroleh dariMu rahmat


Siapalah aku di hari kebangkitan

Dihimpun semua saksi perbuatan

Satu persatu terperinci catatan

Apa tersembunyi jelas kelihatan


Siapalah aku di hari pembalasan

Berdebar menanti bicara keputusan

Layakkakh aku beroleh pembebasan

Atau penyesalan penuh tangisan


Siapalah aku terhumban ke neraka

Sabarkah aku menanggung celaka

Di dunia meraung sedikit terluka

Bijakkah pilihan hidup yang leka


Siapalah aku mengharap syurga

Amalku kurnag tidak berharga

Syurga-Mu mahal tidak terhingga

Ke dalam di larang, biarku di tangga


Siapalah aku di sisi-Mu Allah

Ampuni daku selalu bersalah

Beriku cinta tiada berbelah

Biar hidup matiku fisabilillah


Abu Ridhwan Ibn Omar

Pusat Matrikulasi UIAM

Zulqaedah 1425/ Januari 2005

majidetest@yahoo.com

0 kata-kata mereka: