Ziarah Mahabbah Ke Rumah Solehah


Trip kami ke Rumah Solehah pada hari Ahad, 3 Januari 2009.

Di mana Rumah Solehah ni? Terletak di No.2, Jalan Budiman 11, Bandar Tun Razak, 56000 Kuala Lumpur. Berdekatan dengan Taman Tasik Permaisuri yang indah, berdekatan dengan Masjid Saidina Othman yang tersergam, berdekatan dengan HUKM, berdekatan dengan Stadium Badminton Cheras, berdekatan dengan Sekolah Menengah Sains Ulu Selangor, berdekatan dengan Maktab Perguruan Teknik dan Maktab Perguruan Ilmu khas, berdekatan dengan pejabat pusat Majlis Belia Malaysia dan yang paling penting ialah berdekatan dengan rumah saya, tapi kena naik kereta juga.

Mungkin kerana terlalu dekat, maka saya pun tidak perasan dengan kewujudan rumah ini . Alasan saya ialah kerana saya jarang keluar rumah dan tidak tahu sangat selok-belok jalan walaupun area rumah sendiri. Maka sebab itulah apabila sahabat saya Ariff menelefon kerana tersesat jalan, maka saya yang buta jalan ini telah pass kan telefon kepada emak saya.

Ziarah ini merupakan anjuran Kelab Minda Tajdid (KMT). Pelajar UIA, UITM, UTM Jalan Semarak dan beberapa main board KMT berkumpul dahulu di Masjid Saidina Othman untuk sedikit taklimat. Kami sampai di Rumah Solehah pada jam 9.45 pagi. Bersalam-salaman dan majlis dimulakan dengan ucapan pengasas rumah ini iaitu Puan Fadilah yang sudah mempunyai 5 orang cucu. Beliau menerangkan serba sedikit mengenai rumah ini yang sekarang dihuni oleh lima orang wanita dan kanak-kanak seramai lebih kurang 15 orang yang menghidap penyakit AIDS.

Rumah ini sudah 10 tahun diasaskan dan penghuninya sudah 18 orang meninggal dunia akibat virus ini. Puan Fadilah juga menceritakan betapa susahnya mereka pada awal-awal penubuhan rumah ini di mana mereka kekurangan sumber kewangan dan sebagainya. Sudah banyak para misionari Kristian yang datang menghulurkan bantuan dan meminta agar sebahagian kanak-kanak di sini, dihantar ke rumah AIDS milik Kristian. Tetapi Puan Fadilah menolak dalam masa yang sama cuba mencari dana. Setelah enam bulan bermesyuarat dan berbincang dengan menteri, barulah dapat hanya sekampit beras. Akan tetapi, apabila misionari Kristian ini mendapat tahu sahaja dengan satu panggilan telefon, tak lama selepas itu sampai satu van yang sarat dengan bekalan makanan. Maka, kita boleh lihat betapa bersungguhnya orang Kristian dalam nak berdakwah kepada kita orang Islam. Mereka mengambil kesempatan ke atas orang-orang sebegini untuk menarik masuk ke dalam agama mereka. Di mana kita saat saudara seagama ini memerlukan bantuan? Tepuk dada marilah bertanya pada iman dan kemampuan.

Mak Wan pula merupakan penyelia yang tak penat-penat menguruskan rumah ini. Berusia 60 tahun tapi wajahnya kelihatan muda dari usianya. Setiap pagi dia harus menghantar kanak-kanak ini ke empat buah sekolah yang berlainan iaitu sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah kanak-kanak cacat dan sekolah kanak-kanak spastik. Mak Wan menceritakan bahawa bukan mudah kanak-kanak ini mahu ke sekolah. Akibat stigma masyarakat. Ada segelintir ibu bapa yang tidak mahu kanak-kanak ini bersekolah di sini kerana takut anak mereka terjangkit. Jadi dalam situasi begini Mak wan perlu datang berbincang dan bermesyuarat dengan ibu bapa dan guru. Manakala, murid-murid sekolah ini jika mereka tahu kanak-kanak ini menghidap penyakit AIDS, maka akan dipulaukan.

Tambahannya lagi, beliau harus mengkaji perubahan sikap kanak-kanak ini. Seperti contoh ada yang tiba-tiba murung balik dari sekolah tapi tak menceritakan apa-apa. Yang dikhuatiri jika mereka tidak mahu makan ubat. Kadang-kadang depan Mak Wan mereka makan ubat tapi selepas itu akan diluahkan semula ubat itu. Dan jika tak makan ubat, boleh mengancam kesihatan mereka dan Mak Wan akan dipersalahkan oleh doktor kerana tak beri mereka ubat.

Mak Wan menerangkan lagi kanak-kanak ini sangat berjiwa sensitif. Kita tak boleh bertutur kasar dengan mereka. Contohnya ada seorang budak apabila mak Wan nak tegur tentang kerja sekolah, Mak Wan tak marah pun cuma tertinggi sedikit suara, maka bercucuran air mata dia tak berenti-henti. Jiwa mereka sangat halus. Mereka ini adalah mangsa keadaan. Yang sesetengahnya dihantar ke sini kerana ditinggalkan ibu bapa, tak tahu ke mana menghilang. Dan ada yang kehilangan ibu bapa kerana meninggal dunia akibat virus ini. Maka kata Mak Wan, nasib merekalah yang cuba dibela. Ini bukan salah mereka. Mak Wan meminta kami melayan mereka sebaiknya. Jangan tersalah cakap atau bertanyakan soalan-soalan sensiif kepada mereka. Setiap tindakan dan gerak laku kami akan mereka perhatikan.

Mengiku rancangan awal, kami mahu mengadakan sesi bercerita kisah nabi seperti Tongkat Nabi Musa, Semut dan Sulaiman, tetapi kerana aktifnya kanak-kanak ini kisah itu tidak dapat dihabiskan. Dan akhirnya kami membuat aktiviti sendiri dengan kanak-kanak ini. Bersembang-sembang, main-main dan sebagainya. Ada seorang budak namanya Balqis berusia 10 tahun, menunjukkan kepada saya Barbie Doll dia lengkap dengan sekotak aksesori. Secara tak langsung di sini kita boleh ceritakan kat dia nanti bila Balqis dah besar tak boleh pakai macam Barbie ni. Jangan warna rambut macam Barbie ni nanti tak boleh solat Allah marah. Balqis besar nanti kena pakai tudung elok-elok barulah cantik. Dan macam-macam lagi. Mereka suka main kamera dan handphone saya untuk tangkap gambar.

Jika direnung jauh ke dalam mata mereka memang sangat kasihan. Kekurangan belaian kasih sayang. Sebab itulah mereka sangat manja dengan kami kakak-kakak dan abang-abang ni. Mereka nak kita sentuh mereka, biar duduk di atas riba, main dengan mereka. Suasana ini mengingatkan saya tentang kunjungan ke rumah anak yatim di Kuantan, ketika saya di Pusat Matrilkulasi UIA dahulu. Sangat sama, yang bezanya kanak-kanak Rumah Solehah lebih kasihan kerana mereka menghidap AIDS.

Selepas itu abang-abang pula memasang lagu nasyid berkartun kanak-kanak di laptop. Mereka sangat suka dan suruh ulang banyak kali. Pasang lagu ‘Assalamualaikum’ kumpulan Rabbani dan lagu ‘Thank You Allah’. Terkagum jugak saya sebab dorang tahu nyanyi lagu-lagu ni.

Bagi grup dewasa aktiviti halaqah dan sharing moment dijalankan. Saya tidak join sesi ini. Jadi tak dapat nak citer.

Selepas makan tengahari, bersembang-sembang dengan Mak Wan di dapur. Katanya mereka tak boleh makan makanan semalam. Maksudnya hari ni masak kena makan habis. Tak boleh simpan untuk esok. Jika tidak mereka akan cirit-birit dan muntah-muntah. Dan mereka tidak boleh makan beberapa makanan laut seperti kerang dan sebagainya.

Kunjungan kami berakhir selepas solat zohor berjemaah dan sesi tangkap gambar di hadapan Rumah Solehah. Ensha Allah kunjungan ini akan menjadi aktiviti bulanan bagi KMT. Mak Wan meminta kami datang lagi walaupun secara perseorangan untuk menjenguk mereka atau mengajar mereka beberapa matapelajaran jika ada kelapangan. Jadi sesiapa yang mahu datang ke sini untuk mencurah sedikit bakti membantu kanak-kanak ini dalam pembelajaran, adalah sangat dialu-alukan.

Itu sahaja serba sedikit yang saya dapat ceritakan. Jangan memandang serong kepada mereka. Layanlah mereka seperti orang biasa kerana mereka juga hamba Tuhan seperti kita. Lebih-lebih lagi kanak-kanak yang menjadi mangsa keadaan atas kesilapan ibu bapa mereka.


p/s : saya nak bubuh gambar-gambar tapi tak tahu lah kenapa laptop ni cam tak boleh download pulak. next posting enshaAllah..

0 kata-kata mereka: