Apalah Sangat Kita Ini


Kenapa kami berdemonstrasi pada hari Jumaat lepas? Selepas solat Jumaat kami berkumpul di KLCC di hadapan Masjid Asy-Syakirin. Menunjukkan rasa tidak puas hati, rasa marah dan benci terhadap kebinatangan Zionis Israel. Serasa mereka itu lebih zalim daripada binatang. Kerana mereka yang gila, telah menjerumuskan manusia lain ke dalam dunia gila mereka. La’natullahi Alaihim!! Qunut nazilah jangan dilupakan.

Berjalan dan berlari-lari anak menuju ke Pejabat Kedutaan Mesir di Jalan Rhu, Ampang. Menghantar memorandum meminta negara Mesir membuka laluan terhadap kemasukan bekalan bantuan ke Palestin. Bukankah ini penganiayaan besar saudara Islam terhadap saudara seislamnya?? Mesir itu negara Islam tapi harus tunduk kepada Zionis. Bayangkanlah apa yang dirasakan oleh saudara Palestin kita?

Apalah sangat jika nak dibandingkan fitnah yang kita alami secara peribadinya, dengan fitnah yang mereka hadapi. Setakat dituduh mengkafirkan seseorang, atau pun difitnah dengan beberapa perkara yang saya tidak lakukan pun, sehingga dia menyimpan bara kemarahan terhadap saya selama berbulan-bulan, tetapi itu semua hanyalah fitnah! Malah lebih teruk jika fitnah itu datang daripada orang yang sepatutnya kita percaya. Dan beberapa fitnah yang melanda, apalah sangat fitnah-fitnah ini jika nak dibandingkan dengan fitnah yang saudara Palestin kita hadapi? Dianiaya oleh musuh Yahudi Zionis, dianiaya pula oleh saudara sendiri, apalah sangat kita ini?

Apalah sangat termenungnya kita, nak dibandingkan dengan termenungnya mereka memikirkan masa depan yang tak pasti. Setiap detik memikirkan bagaimana harus berjihad melindungi Masjidul Aqsa. Setiap detik menahan sakit, mengelap darah tak berhenti mengalir. Setakat tangan kita terhiris pisau ketika menyiang ikan pun sudah mengaduh, berapa besar aduhnya mereka disembelih di tengkok secara sedar? Setakat tangan terpercik air panas dari water heater pun sudah pedih, berapa besar pula rasa pedih mereka terkena percikan bom, tertimbus di sebalik batu-bata bangunan musnah? Jadi, marilah ubah diri kita agar jangan terlalu merungut atas perkara yang remeh.

Maka, kita ini sementara masih aman, usahlah kita berhasad dengki sesama kita. Setakat rasa tak puas hati sesama kawan, usahlah dipanjang-panjangkan cerita. Dan semalam menghadiri kuliyyah tafsir Ustaz Fadhil, beliau menerangkan kita sebagai manusia ini jauhilah diri daripada terlibat dengan ghibah atau mengumpat. Mengutuk dan mencaci. Memang mudah mengata orang lain, tapi ingatlah hari akhirat jika kita persembahkan amalan yang banyak sekalipun kepada Allah, tapi akibat ghibah ini, mangsa umpatan kita itu akan mengambil sedikit demi sedikit pahala kita. Malah lebih teruk jika pahala kita sudah habis diambil, terpaksa pula menanggung dosa mangsa umpatan kita itu. Bukankah ini dinamakan muflis? Naudzubillahi min dzalik. Maka, ustaz kata cubalah merendah diri. Elakkan bercakap mengenai manusia kerana kita tidak tahu hakikat sebenarnya dia itu bagaimana.

Dan teringat juga kata-kata Ustaz Adli di dalam kelas saya dua sem lepas, beliau menyebut riya’ itu bukanlah semata-mata memakai pakaian yang cantik-cantik untuk tujuan bermegah. Ada orang yang dia memang sukakan kekemasan dan berpakaian elok. Akan tetapi riya’ itu ialah apabila kita menjatuhkan orang lain dan memandang hina terhadap sesama saudara. Itulah riya’. Kenapa? Kerana bila dia rasa orang lain itu hina, maka dia akan mengangkat dirinya sendiri dan dia rasakan dirinya jauh lebih baik dari orang lain.

Berbalik kepada cerita Palestin di atas, apalah sangat nak dibandingkan dengan kita ini?

Wallahu a’lam bissowab..

0 kata-kata mereka: