Nampaknya “Qalam sudah lama tidak berbicara”.
Sepanjang kesenyapan qalam itu, banyak rupanya perkara yang berlaku. Kenikmatan yang melimpah, kegembiraan yang juga merupakan suatu ujian, bukan sekadar susah saja dinamakan ujian. Banyak benar nikmat Tuhan yang kita terima. Iman, Islam yang ada. Malah udara yang dihirup ini juga nikmat ‘biasa’ yang sudah kerap didapati sehingga kita terlupa untuk mengungkapkan syukur.
Barangkali kerana ‘rapatnya’ kita dengan nikmat-nikmat yang dianggap sudah serasi lagi biasa itu, maka manusia ini memerlukan nikmat yang luar biasa agaknya supaya dia sedar betapa Pemurahnya Sang Pemberi Nikmat. Betapa Pengasihnya Sang Pemberi Rezeki tak putus-putus.
Begitu jugalah pemilik qalam yang hina ini, segunung dan selautan dosa namun Tuhan tetap Pemurah kepadanya. Keharuan yang terlalu sehingga tersungkur di ambang syukur. Itulah nikmat luar biasa yang dia maksudkan.
“Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allah lah (datangnya)..” (An-Nahl : 53)
Terasa bahagia kerana doa kita selama ini dimakbulkan Allah Subhanahu Wa Taala. Dengan rahmat dan belasnya, mahu juga Dia melunaskan permintaan kita yang kerdil ini. Marilah berdoa dengan kehadiran hati.
Buat sahabat yang sedang dilanda duka akibat kehilangan, bersabarlah. Segalanya adalah ujian daripada Allah. Apa yang kita ada, bukan mutlaknya milik kita.
“Dan sungguh Kami akan berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan khabarkanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan inna lillahi wa inna ilaihi raji3uun*” (Al-Baqarah :155-156)
*Ertinya: kami adalah milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali.
Buat sahabat yang meluahkan masalah hati dan cinta, bertenanglah. Jika sudah tertulis di Lauh Mahfuz, maka bersatu jua dua hati suatu hari nanti. Usah gusar kerana masa dan siapa Dia Yang Lebih Tahu.
Kerana pemilik qalam yang sudah lama tidak berbicara ini terasa ingin melakukan suatu promosi. Promosi cinta terhebat dari Allah Yang Maha Esa lagi Maha Penyayang..
Subhanallahi wa bihamdih, subhanallahil a3zhim..
0 kata-kata mereka:
Post a Comment