Ashraff Hayati binti Mohamad Shauki
8 Januari 1983 – 27 April 2009
Masa kematian : 3.25am
Selang dua posting di bawah, masih lagi tertulis bahawa saya mahu lihat kakngah kerana saya sudah lama tidak balik rumah. Kerana dia sudah sihat sedikit. Akan tetapi, siapa yang sangka?
Sepanjang menjaga dia di wad semenjak 13 April 2009, tidak pernah terlintas di pemikiran kami bahawa dia akan pergi dalam usia begini muda, 26 tahun.
Benarlah dia milik Allah. Daripada Dia kita datang dan kepadaNya jugalah kita akan kembali. Berat benar saya merasa, berat lagi ibu saya menanggung.
Saya menyaksikan segalanya. Daripada 14 hari dia di wad kerana demam yang tak tahu punca, selepas itu masuk ICU, wayar berselirat sana-sini, saya lihat bagaimana doktor bertungkus lumus mengembalikan pernafasan dia, sebagaimana kita tonton di tv, begitulah. Sejuk dan menggiggil kaki saya bila lihat dia sudah pun kaku.
Turun ke bilik mayat buat pertama kalinya dalam hidup saya. Pertama kali memandikan jenazah. Dengan bantuan ustazah-ustazah kawan mak saya datang membantu. Dengan linangan air mata saya siram air ke tubuhnya. Sangat tak sanggup melihat wajah pucat dia.
Sudah tak terkira istirja3 dan 2 kalimah yang ringan, berat pada mizan, dan disukai Ar-Rahman yang keluar dari mulut saya tetapi kenapa air mata ini tak mahu berhenti mengalir?
Seusai solat di Masjid Saidina Othman, van jenazah terus bawanya ke tanah perkuburan Lebuhraya Karak di Gombak.
Pulang ke rumah tiba-tiba jadi keliru. Terlupa yang kakngah sudah tiada lagi. Hairan lihat ummi, abah, kakak-kakak dan abang-abang saya. Kenapa menangis ni? Hairan kenapa banyak sangat orang datang rumah? Saudara-mara pun saya dah tak perasan lagi. Saya lihat manusia dengan pandangan yang kosong. Hairan kenapa banyak sangat mesej takziah dlm handphone saya? Berpuluh-puluh mesej saya baca secara blur. Sahabat-sahabat datang menziarah.
Saya kembali ingat hanya apabila saya ingat bahawa saya yang menyaksikan saat-saat kematian dia ICU. Bahawa saya yang memandikan jenazah dia. Dan bahawa saya sudah lihat jasad kakunya masuk ke liang lahad. Barulah saya teringat yang dia sudah tiada.
Sudah habis tenaga dikerah supaya dipaksa bersabar. Sehingga demam panas jadinya. Tapi nak buat bagaimana ya? Lihat semua barang-barang di rumah ini pasti akan teringatkan dia. Kerusi kat ruang tamu, meja makan, peti ais, mesin basuh, semua dia yang pilih.
80 peratus barang-barang dalam bilik ini adalah kepunyaan dia. Buka almari nampak baju-baju dia, tengok katil teringat dia, beg-beg, kasut-kasut, masuk bilik air nampak syampu dan botol sabun mandi pun akan ingat dia kerana segalanya ada kisah berkaitan dia. Jadi, kebanyakan pekerjaan yang ambil masa sedikit pasti akan drag masa yang panjang, tak kira di mana pun. Dan saat teringat dia, air mata ini takkan tahan lagi.
Dan apabila saya menyoal diri sendiri tentang musibah ini, “ Aku ni tak bersabar kah?”, juga akan teringatkan dia, kerana dia pernah meluahkan hatinya bertanya soalan yang sama kepada saya.
Sesungguhnya kakngah adalah orang yang paling sabar dan tabah. Sakit Rheumatoid Arthritis yang dia alami bukan calang-calang orang boleh menanggung. Tapi rupanya ada sakit lain yang tidak dikesan. Sudah tiba ajalnya, samada sakit atau sihat Allah akan menjemput juga.
Dialah yang mengurus kami adik-beradik dari kecil lagi dan uruskan rumah semasa dia sihat. Siapa yang tidak terasa dengan kehilangan dia?
Benar. Kami terima pemergian dia. Dia milik Allah. Ikut suka Allah lah Dia nak ambil semula. Nanti kita akan menyusul dia juga. Mati itu bila-bila sahaja. Marilah bersedia.
Nabi sallallahu alaihi Wasallam sebut ketika puteranya meninggal:
“ Sesungguhnya air mata berlinang, dan hati ini amat sayu, tetapi kami tidak akan mengatakan kecuali apa yang meredhakan Tuhan kami”
Selama ini kita hanya melihat orang. Hari ini barulah kita merasa perasaan mereka yang sebenar. Biasalah tu. Ramai lagi orang yang sudah mengalaminya.
Harus sedar segalanya bukan milik kita.
Ya Allah, sesungguhnya aku sudah memahami..