Beberapa Perspektif Tentang Adab-Adab Menyertai Jamaah Islamiyah


sumber :http://moojahid.blog.friendster.com/


Betapa berharganya peranan jemaah dalam membina kekuatan umat Islam, baik secara individu mahupun secara kolektif.

Tapi malangnya dalam menjayakan sistem berjemaah ini, terdapat beberapa isu penting yang menyebabkan berlakunya ketidakserasian antara sistem jemaah dengan adab-adab penting melalui Quran dan Sunnah. Inilah yang ingin saya bincangkan dalam penulisan ini.

Kita perhatikan isu-isu berikut.

Berjemaah hanyalah salah satu daripada berbagai-bagai methologi tarbiyyah

Perlulah difahami bahawa untuk berada dalam jemaah, kumpulan atau sesuatu organisasi Islami, bukanlah menjadi satu kemestian untuk setiap muslim menyertainya.

Berjemaah hanyalah salah satu daripada berbagai-bagai cara untuk seseorang muslim membina ketaqwaannya dan menambah ilmu keislamannya.

Selain berjemaah, terdapat juga konsep-konsep pentarbiyyahan lain seperti kelas-kelas dan kuliah-kuliah agama, membaca buku-buku agama, berdiskusi dengan para ustaz dan lain-lain.

Saya, dengan penuh rendah diri dan masih banyak kekurangan, pernah berjumpa beberapa orang yang tidak berada dalam mana-mana jemaah, tapi masyaAllah, mereka kaya dengan ilmu agama yang sahih dan kesungguhan mereka untuk mengamalkan ajaran Islam adalah luar biasa. Anda dapat melihat akhlak mereka cukup mulia dan wajah mereka berseri-seri dan ceria. Mereka sekadar rajin menghadiri kuliah-kuliah, berdiskusi dan rajin berjumpa dengan para ustaz, tapi alhamdulillah mereka memautkan ilmu itu ke hati mereka dan masih berjaya merealisasikan apa yang mereka pelajari kepada amalan zahir, walaupun mereka tidak melibatkan diri dalam mana-mana jemaah.

Tapi ini tidaklah bermaksud berjemaah itu tidak bagus. Didikan dalam berjemaah memang sangat bagus dan digalakkan, cuma janganlah kita sampai menyempitkan fikiran bahawa hanya mereka yang berjemaah akan selamat, sedangkan yang tidak berjemaah akan terjejas. Ini adalah satu sangkaan yang tidak wajar, malah merupakan satu prejudis sebenarnya.

Paksaan atau sukarela?

Dalam menjalankan aktiviti secara berjemaah, perlulah dipastikan bahawa aktiviti itu berlaku dalam keadaan sukarela para pesertanya. Tidak ada paksaan dalam agama, ini adalah satu konsep Qurani yang jelas.

Jika seseorang peserta itu tidak pernah berjanji akan melakukan sesuatu, maka dia tidak boleh diberi tekanan untuk melakukan sesuatu. Jika jemaah itu akan mengadakan program itu dan ini, berkelah, perkhemahan dan sebagainya, maka tidaklah layak untuk para ahli dipaksa menyertainya. Jika dia tidak menyertainya, tidak boleh bersangka bukan-bukan terhadapnya.

Ini berbeza jika seseorang peserta itu telah berjanji untuk melakukan tugas atau telah berjanji untuk menyertai sesuatu program, maka di sini perlulah peserta itu diperingatkan selalu akan janjinya supaya tugasnya dilaksanakan dan memastikan program tersebut berjalan lancar. Sebab menepati janji itu adalah wajib, kalau tidak, risau-risau bakal dicopkan sebagai orang munafiq.

Dalam erti kata lain, kalau seseorang ahli jemaah tidak pernah bersetuju pun yang dia ingin bekerja dalam sesuatu aktiviti jemaah, maka janganlah dia dipaksakan untuk melakukannya. Jika dia hendak lakukannya, maka baguslah. Jika dia tidak mahu, itu adalah haknya dan tidak boleh bersangka buruk kepadanya. Sesungguhnya antara ciri akhlak mulia seseorang muslim itu ialah saling bertoleransi dan bersangka baik.

Amal ibadah berjemaah haruslah serasi dengan Sunnah

Terdapat juga dalam beberapa keadaan di mana aktiviti berjemaah dilakukan untuk ibadat khusus tertentu. Maksud ibadah khusus di sini ialah ibadah yang berbentuk spiritualistik, seperti solat, zikir zahir, membaca Quran, berpuasa dan sebagainya.

Dalam hal ini kita harus sangat berhati-hati.

Sebagai seorang muslim, sebaik-baik tauladan dalam melaksanakan ibadah khusus adalah sebagaimana yang ditunjukkan Rasulullah s.a.w. Inilah prinsip yang paling tepat untuk kita berasa yakin amal ibadah kita akan diterima Allah, jika dibandingkan dengan amal-amal ibadat khusus yang disusun oleh orang-orang tertentu tanpa bukti daripada dalil-dalil sahih.

Sebab itu, menjadi kewajiban setiap muslim untuk mengetahui bagaimana Rasulullah memerintahkan kita melaksanakan sesuatu ibadah. Tirulah cara beribadah sepertimana dilakukan Rasulullah s.a.w.

Antara amal ibadah yang diperintahkan Rasulullah s.a.w ialah berjemaah ketika solat fardhu di masjid. Ini jelas dalam hadith-hadith sahih yang menunjukkan bahawa Rasulullah hampir-hampir ingin menyuruh dibakar saja rumah-rumah mereka yang dengan sengajanya tidak mengerjakan solat berjemaah. Malah seorang sahabat yang buta sekalipun telah diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w supaya datang berjemaah di masjid. Hakikatnya hari ini orang ramai tidak mengambil endah tuntutan yang besar ini dan masjid-masjid kita masih lagi kosong setiap kali tiba solat Fardhu.

Namun Rasulullah s.a.w tidak pula menggalakkan agar zikir-zikir dilakukan secara berjemaah. Di kalangan sahabat ada yang baru masuk Islam dan ada yang telah veteran, tapi tidak ada riwayat sahih yang menunjukkan mereka melakukan hal-hal tersebut.

Pendek kata, di sini perlulah ahli jemaah jelas yang mana satu sunnah, dan yang mana satu bukan.

Jadi sebaiknya ketika berada dalam jemaah, kalau ingin melakukan ibadah-ibadah khusus, lebih baik jika diserahkan kepada diri masing-masing untuk melakukannya. Tidak perlulah untuk mentaklifkan ibadah-ibadah tertentu kepada ahli-ahli tertentu, seperti disuruh untuk berzikir atau beristighfar dengan beberapa bilangan tertentu sebab ini bukanlah satu daripada sunnah Rasulullah s.a.w yang kita cinta.

Elakkan pentaklifan, tapi berikanlah nasihat dan galakan. Contohnya, lebih baik jika dikatakan, “kami menggalakkan diri kita semua agar rajin berzikir dan beristighfar agar kita semua beroleh redha dan maghfirah Allah” daripada kita katakan “anda semua diminta berzikir dan beristighfar 100 kali sehari, ini adalah amanah anda sebagai peserta program ini”. Saya khuatir kata-kata yang kedua tadi bakal menjadi satu bentuk taklifan ibadah yang tidak mudah untuk diniatkan kepada Allah, sebab para ahli jemaah akan lebih cenderung hati mereka untuk melakukan ibadah tersebut kerana ingin mematuhi mematuhi program. Ini akan menyusahkan niat mereka untuk ikhlas betul-betul kerana Allah.

Kita yang mengaku mencintai sunnah Rasulullah s.a.w ini, sewajarnya mengikuti bagaimana Rasulullah s.a.w bersama para sahabat dalam konteks mereka hidup berjemaah. Harus kita selidik dalam isu apakah mereka berjemaah, dan dalam isu apa mereka bersendirian. Dengan ini, insyaAllah, jemaah yang kita ikuti bersama-sama adalah jemaah yang unggul dan terkedepan dalam meneladani gaya hidup Rasulullah s.a.w.

Ahli jemaah tidak wajar hanya komited untuk jemaahnya sahaja

Alangkah bahayanya jika berfikiran untuk memberi komitmen kepada jemaah semata-mata.

Sebab sebagai seorang muslim, komitmen kita adalah untuk Islam, bukan untuk jemaah atau organisasi. Jika ada kerja Islami daripada organisasi tertentu yang bukan daripada jemaah kita, tapi mereka memerlukan kita, maka kita perlu pergi. Jika ada dua urusan bercanggah, antara kerja dalam jemaah dan kerja luar jemaah, harus kita pilih yang mana satu lebih penting walaupun perlu memilih kerja luar jemaaah. Saya harap anda faham maksud saya.

Jika bekerja dalam jemaah pun, niat haruslah untuk kesejahteraan umat Islam, bukan untuk kebaikan jemaah sahaja. Semua ini penting supaya semangat dan kesatuan bercirikan ummatik terus utuh dan itulah sebenarnya konsep persaudaraan yang dituntut dalam Quran dan Sunnah.

Malah, kadang-kadang wujud juga elemen berbahaya dalam pemikiran sesetengah ahli jemaah yang hanya menganggap saudara Islamnya hanyalah mereka yang dalam jemaahnya. Saya pernah diucapkan oleh seorang muslim dengan kata-kata “I don’t approve you as my brother” dalam satu program yang saya ikuti, hanya kerana saya pulang awal daripada program. Kasihan saya melihatkan kawan saya tersebut, yang nampaknya telah menganggap hanya mereka yang menyertai aktiviti jemaah itu sahaja dikira sebagai saudaranya.

Begitu juga, sebagai contoh, jangan sampai jika hendak pinjamkan kereta, utamakan dulu saudara jemaahnya sahaja. Padahal yang benar adalah mengutamakan kaum muslimin yang ada urusan lebih penting tanpa mengira mereka bersama jemaah kita atau tidak.

Dengan meniatkan bekerja untuk jemaah, bukan untuk umat Islam, kita khuatir kita akan menafikan konsep Qurani yang telah disebutkan dalam surah Ali Imran dan Al-Hujurat, iaitu konsep “umat yang terunggul” dan konsep “setiap mukmin itu bersaudara”. Jadi, walaupun bekerja dalam jemaah, fikiran ahli jemaah haruslah bercorak ummatik. Setiap aktiviti jemaah haruslah bermatlamatkan dan diorientasikan untuk kejayaan umat pada akhirnya, bukan untuk jemaah semata-mata.

Tentang mutaba’ah amal

Sistem mutaba’ah amal adalah satu teknik penilaian amal yang biasa dilakukan dalam usrah. Contohnya diminta para ahli usrah supaya melakukan solat sunat dengan sekurang-kurangnya bilangan tertentu, puasa, qiam dan sebagainya dalam seminggu, dan rekod mereka akan diperiksa oleh naqib yang bertugas semasa sesi usrah .

Benar, pada asasnya ini adalah bagus untuk melatih diri ahli usrah untuk beramal. Tapi jangan kita lupa dalam Islam amal itu hanya sempurna jika ikhlas niatnya kerana Allah dan perlakuannya menurut contoh Rasulullah s.a.w.

Dalam melaksanakan mutaba’ah amal ini, kita khuatir amal tersebut tidak menjadi amal yang ikhlas kepada Allah, sebab ada risiko para ahli akan berfikir bahawa mereka melakukan ini agar dapat memenuhi amanah dan janji mereka dalam jemaah. Paling takut ia bakal membawa kepada syirik, jika ini dilakukan oleh mereka yang masih baru dalam tarbiyyah (sebab berniat melakukan ibadah untuk memenuhi tuntutan jemaah, kerana mereka tidak mahu berasa malu semasa sesi penilaian mutabaah nanti).

Malah, dengan meletakkan taklifan sebegini, kita telah meletakkan elemen pemaksaan kepada muslim yang lain sedangkan dalam agama itu tidak boleh ada paksaan untuk beramal.

Inilah beberapa saranan untuk memperbaiki mutabaah amal ini:

  1. Jika mutabaah amal itu tentang urusan kerja ibadah am (seperti membaca, senaman) dan bukannya ibadah khusus, maka ini adalah lebih selamat.
  2. Sistem mutabaah amal ibadah khusus ini lebih wajar untuk kanak-kanak yang belum baligh sebagai satu bentuk pendidikan. Kanak-kanak, tidak seperti orang dewasa, sukar untuk menghayati erti keikhlasan dalam beramal, maka didikan secara begini bersama ganjarannya adalah satu cara untuk melatih membiasakan mereka dengan amal ibadah. Malah, inilah antara cara psikologi didikan anak.
  3. Gunakan usrah sebagai sesi tazkirah dan penginsafan. Kemudian serahkan kepada para ahli untuk bertindak menurut kesungguhan mereka.
  4. Lebih baik jika tidak dinilai ibadah khusus para ahli dan biarkan ia secara rahsia antara mereka dan Allah. Ini supaya dapat melatih hati mereka agar dapat ikhlas beribadah kepada Allah.
  5. Hanya jika para ahli usrah sendiri ingin membincangkan masalahnya tentang beramal, barulah perbincangan boleh dibuka.
  6. Tugas Naqib hanyalah sebagai moderator dan pembimbing sahaja. Tidak wajar untuknya mengambil tahu kisah peribadi ahli usrahnya melainkan ahli usrahnya sendiri yang ingin berbincang masalah.

Antara fikrah dan kebenaran sejati

Para ahli jemaah patut tahu membezakan ketika beraktiviti dalam jemaah, yang mana satukah merupakan hasil fikiran manusia dan yang mana satukah merupakan hal-hal yang betul-betul disuruh melalui hadith-hadith sahih.

Setiap jemaah ada metologinya masing-masing. Ada yang berkecimpung dengan sistem usrah, ada yang dengan keluar berdakwah berhari-hari, ada yang mengadakan aktiviti-aktiviti kuliah mingguan dan sebagainya. Metodologi ini berbeza-beza dan kebanyakkannya merupakan kaedah ciptaan manusia. Ini semuanya baik dan bermanfaat maka ia digalakkan.

Cuma perlulah disedari, walaupun metodologi yang baik ini digalakkan, tapi apabila ia lahir sebagai buah fikiran manusia, maka tidaklah layak untuk kita meletakkan hukum-hakam tertentu ke atasnya. Sebagai contoh, katakan ada seorang ahli fahaman ekstrim dalam sesuatu jemaah usrah, lalu dia mengatakan bahawa menyertai usrah itu wajib. Inilah satu kesilapan yang merbahaya, sebab idea usrah itu adalah sesuatu yang baru hasil fikiran Hasan Al-Banna, reformis kita yang unggul, tapi bukanlah sesuatu yang disyariatkan. Kesilapan ini berlaku kerana ahli jemaah yang ekstrim ini tidak tahu membezakan yang mana satu fikrah, dan yang mana satu kebenaran sejati yang ada perintahnya berdasarkan dalil-dalil yang sahih.

Aktiviti dalam jemaah: harus dikongsikan atau dirahsiakan?

Ini mungkin satu isu sensitif, tapi mungkin ada baiknya kita berbincang mengenainya untuk meluaskan perspektif kita.

Ada sesetengah jemaah berpendapat haruslah dirahsiakan aktiviti jemaah mereka.

Hal ini haruslah dinilai menurut waqi’ atau keadaan semasa. Secara umumnya jujur saya katakan -menurut apa yang telah saya bincangkan dengan beberapa orang rakan yang luas fikrahnya- bahawa tidaklah wajar untuk aktiviti-aktiviti jemaah Islami dirahsiakan daripada pengetahuan orang ramai.

Antara sebab setengah muslim tidak mahu menyertai jemaah ialah kerana jemaah yang mereka selalu dengar suka merahsiakan aktiviti mereka. Dengan merahsiakan aktiviti dalam jemaah, orang ramai -terutamanya orang-orang awam- akan berasa syak wasangka, perasaan takut dan risau lantas merasakan aktiviti berjemaah itu sebagai sesuatu yang salah.

Ada sesetengah muslim yang menyertai jemaah berdalil untuk sembunyikan aktiviti dakwah dengan merujuk kepada sirah Rasululah s.a.w, iaitu baginda berdakwah dengan sembunyi-sembunyi sebelum terang-terangan, maka kita harus contohi baginda s.a.w.

Kisah itu benar. Tapi, memetik kata-kata Dr. Zakir Naik, dalil-dalil haruslah difahami mengikut konteksnya. Ketika zaman awal dakwah Rasul s.a.w, terdapat ancaman luar biasa daripada kaum Quraisy terhadap agama Islam, disamping umat Islam masih kecil jumlahnya. Dalam keadaan ini jika dilakukan dakwah terang-terangan maka dikhuatiri dakwah Islam itu akan mati terus. Malah, agama Islam adalah satu agama baru yang betul-betul bertentangan dengan agama berhala kaum Quraisy. Maka wajarlah untuk disembunyikan dakwah Islamiah sehingga keadaan sudah stabil, di samping umat Islam pula sudah cukup kuat mental dan fizikalnya untuk mempertahankan agama suci ini.

Tapi keadaan di negara kita berbeza. Agama rasmi negara kita ialah Islam. Tiada siapa yang hendak melarang kita berdiskusi tentang agama di negara kita, walau di kedai-kedai kopi. Tiada siapa melarang kita memakai jubah dan serban di tengah-tengah bandar. Kita tidak diancam kerana kita seorang Islam. Pemerintah kita sendiri berpuasa dan menyambut hari raya sebab mereka pun beragama Islam. Jadi mengapa mahu berahsia tentang aktiviti Islami?

Sikap berahsia itulah yang akhirnya membawa risiko apabila pihak berkuasa menganggap itu sebagai usaha-usaha berhaluan kiri untuk memberontak kerajaan, walaupun jemaah itu tidak pernah berlaku sedemikian. Malah golongan non-muslim pun ada yang berasa tidak senang dengan kerahsiaan dalam kumpulan-kumpulan muslim, menyebabkan wujudnya fitnah-fitnah kononnya ada kumpulan pengganas di negara kita di sebalik gerakan jemaah, sedangkan tidak pernah langsung ahli jemaah tersebut terlibat dalam fahaman sedemikian.

Sebab itulah sikap kita yang sebenarnya dalam berjemaah ini ialah kita berasa ‘izzah dengan aktiviti jemaah yang kita ceburi, dengan menceritakan kepada kawan-kawan yang lain. Ceritakan apa yang kita pelajari dan apakah peningkatan diri kita melalui berjemaah. Biar kawan-kawan lain yang tidak sertai jemaah berasa jelas bahawa aktiviti Islamik secara berjemaah ini adalah satu benda yang positif dan menyeronokkan.

Dengan cara inilah, dengan izin Allah, berjemaah bakal dilihat sebagai sesuatu yang baik dan dapat menarik minat lebih ramai muslim lain. Malah, insyaAllah pihak berkuasa juga tidak akan melarang usaha-usaha mulia sebegini, jika ternyata ia memang benar-benar bersih daripada unsur ekstrisme.

Elakkan sikap memilih dalam menambah ahli jemaah

Ada satu isu penting tentang siapakah yang layak menjadi ahli jemaah?

Jawapan yang tepat menurut Al-Quran dan Sunnah ialah setiap orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya layak menjadi ahli. Tidak ada syarat-syarat seperti rajin ke masjid, bagus akhlak dan sebagainya untuk menjadi ahli jemaah. Walaupun golongan sebegini lebih mudah untuk diajak, tapi mereka bukanlah golongan yang paling patut diutamakan.

Ini kerana setiap muslim yang berminat untuk memperbaiki dirinya ke arah Islam, walaupun sejahat mana sekalipun dia sebelumnya, patut menyertai jemaah Islami. Malah, merekalah yang lebih berhak untuk menyertai aktiviti jemaah sebab mereka lebih memerlukan platform jemaah itu untuk menghidupkan kembali ruh keislaman yang semakin luput.

Malah, Imam Hasan Al-Banna sendiri ketika mula-mula ingin merekrut ahli setelah mewujudkan NGO ikhwanul Muslimin di Mesir, beliau mulakan ajakannya di kedai-kedai kopi, bukannya memilih kawan-kawan di masjid.

Para pendidik, kitab rujukan dan sukatan pelajaran tidak semestinya datang daripada golongan jemaah itu semata-mata

Perspektif sesuatu jemaah haruslah luas melata ke seluruh dunia Islam. Tidak wajar untuk sesuatu jemaah itu harus memilih sukatan pengajian Islam hanya daripada sumber-sumber yang berasal daripada jemaah itu sahaja.

Sepatutnya segala khazanah ilmu Islam yang ada, selagimana ia adalah ilmu yang muktabar menurut Al-Quran dan Sunnah, wajar menjadi sumber rujukan dalam sesuatu aktiviti keilmuan berjemaah, baik semasa berseminar atau usrah.

Kesimpulan: Agar berjemaah membawa kepada semangat kesatuan ummah

Mungkin isu-isu yang dibentangkan di atas ini bakal mencetuskan beberapa komen hangat, tapi sebagai satu perbincangan saya kira perlu dinyatakan juga.

Ulasan-ulasan di sini tidak semestinya betul, tapi saya kira apalah salahnya jika kita berfikir di lorong yang alternatif untuk meluaskan gambaran kita tentang konsep menyertai jemaah.

Berjemaah adalah berguna sebagai salah satu platform untuk kaum muslimin saling bantu-membantu untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah.

Cumanya dalam proses itu janganlah sampai jemaah itu bertindak seperti satu sub-group dalam komuniti kaum muslimin. Fikiran ahli jemaah perlulah bersifat ummatik, seperti askar-askar yang berjuang dalam platun-platun kecil tapi hakikatnya mereka semua terdiri daripada satu angkatan yang besar dan sejiwa. Aktiviti berjemaah hanyalah seperti satu madrasah untuk mendidik jiwa-jiwa muslimm jadi ia memerlukan peringkat-peringkat sepertimana silibus-silibus pelajaran dalam sekolah.

Setiap muslim berhak untuk sertai mana-mana jemaah Islami jika mereka mahu tanpa mengira latar belakang mereka. Pada masa yang sama, aktiviti dalam jemaah haruslah bersifat fleksibel dan bergariskan panduan daripada Al-Quran dan Sunnah. Jemaah haruslah bebas daripada sikap jumud dan paling penting, bebas daripada taasub jemaah.

Akhir kata, matlamat jemaah adalah untuk ummah sebab jemaah yang paling asli berdasarkan Quran dan Sunnah ialah jemaah kaum muslimin. Setiap orang yang beriman adalah bersaudara dan kita semua adalah satu. Inilah jemaah yang paling afdhal.

Wallahu a’lam.


Sedikit Tentang Malaikat

Hari ini hari Sabtu, 28 February 2009.

Saya pergi kuliyyah aqidah pada hari Isnin malam Selasa yang lalu. Lambat bebenar tulis report.

Akan tetapi, saya telah memontengkan diri dari menghadiri kelas arabic debate pada malam yang sama. Maafkan saya Ustaz Yasir. Saya bukan sengaja. Tapi saya sangat tak larat hari tu. Tak da hati nak gi sebenarnya. Lain kali saya tak buat lagi!

Maka, apa yang saya dapat dari kuliyyah aqidah Ustaz Roesfan? Topik sambungan mengenai malaikat. Ni apa yang saya salin.

-Ada manusia yang boleh melihat malaikat. Kisahnya dari hadis muttafaqun ‘alaih:

Ada seorang sahabat yang sedang membaca surah Al-Baqarah pada suatu malam. Tiba-tiba kuda yang ditambatnya tu melompat. Apabila dia diam, kuda itu pun diam. Dan bila dia baca surah itu, kuda itu melompat sekali lagi. Maka dia pun mendongak ke langit, lalu terlihatkan suatu bayangan yang seakan-akan ada lampu yang bercahaya. Keesokannya dia pun bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Maka baginda pun berkata bahawa itu adalah malaikat yang sedang mendengar bacaan dia.

-Daripada hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang lebih kurang begini maksudnya:

Bila kita dengar kokokan ayam, mintalah kepada Allah kebaikan. (Semoga malaikat akan aminkan doa kita.)

Jika terdengar suara keldai mintalah perlindungan kerana keldai itu nampak anak syaitan.

-Tidak ada dalil yang mengatakan bahawa malaikat boleh melihat Allah. Kerana Allah telah menghijabkan dirinya daripada dilihat.

“Penghadangnya ialah cahaya, sekiranya Dia menyelaknya pasti kesucian wajahNya akan membakar makhluk yang dapat dilihat oleh penglihatanNya” (HR Muslim)

-Antara sifat malaikat ialah mereka ni pemalu.

-Mereka bertasbih dan menyembah Allah tiada jemu.

“Mereka tidak mempunyai rasa angkuh untuk menyembahNya dan tiada pula merasa letih. Mereka selalu bertasbih malam dan siang tida henti-hentinya” (Al-Anbiya’ : 19-20)

-Malaikat memohon keampunan bagi orang yang bertaubat.

-Mendoakan kepada penuntut ilmu dan pengajarnya.

-Mendoakan orang yang menunggu waktu solat dan selepasa solat.

-Mendoakan bagi orang yang duduk di saf hadapan.

-Mendoakan bagi orang yang menyambungkan saf

-Mendoakan orang yang berselawat kepada nabi.

-Mendoakan orang yang bersahur.

-Mendoakan orang yang menziarahi orang sakit.

-Mengaminkan doa seseorang yang mendoaka sahabatnya yang tiada di depannya. Maka doa itu akan berbalik kepada kita.

-Mendoakan keselamatan orang mukmin semasa berjalan di atas sirat nanti.

Lihatlah. Betapa pemurahnya Allah SWT yang menghantar malaikat-malaikat kepada kita. Mereka mendoakan kita dan mengaminkan doa kita. Mestilah doa malaikat ni dimakbulkan Allah kerena mereka tiada dosa. Malahan sangat-sangat taat kepada Allah.

Maka, marilah kita menyukai amalan soleh kerana malaikat bersama-sama orang yang buat kebaikan. Malaikat tidak pula mendoakan orang-orang yang berbuat dosa dan fasiq.

Maaf, saya tak sertakan matan hadis secara terperinci sebab tak sempat salin. Untuk melihat sendiri rakaman kuliyah sila hubungi sahabat saya.

p/s : sama-sama merajinkan diri mempelajari aqidah. (Walaupun terpaksa ponteng class. Ish3)

Green Button

Bagus rasanya jika ada yang menemani ketika sendiri.

Semalam sebar risalah Momentum pada jam 1230 tengah malam hari Jumaat malam Sabtu di Mahallah Safiyyah. Kenapa lambat sangat? Tak sempat. Tak perasan Valentine Day hari Sabtu. Jadi mesti bersegera. Tambah bersegera bila terdengar perbualan di bilik air, dua orang sisters yang plan untuk sambut Valentine dengan partner masing-masing. Tapi tak tahu siapa yang bercakap sebab sedang shower. Sigh..

Aku tahulah jika kucing itu memang sayangkan aku.

Dari level 1 hingga level 4 dia ikut aje. Dah la warna tema sama. Aku pakai baju hitam putih, dia pun pakai bulu hitam putih. Macam kucing yang pakai tuksedo hitam. Di hujung keempat-empat kaki dia warna putih. Tinggal tak letak riben merah je kat leher dia. Mata hijau. Tengah sarat mengandung pula tu.

Maka, namanya pun aku letakkan sebagai “Shilakey” yang berasal dari nama “Si Blackey”.

Hai demi dakwah, kucing tu pun sanggup temankan aku. Tapi kasihan. Aku tak ada makanan nak bagi Shilakey makan.

Adalah dalam sepuluh minit meluangkan masa bersembang dengan dia. Taat. Dia dengar je. Saat-saat tak sampai hati ialah bila nak masuk bilik, dia kena tinggal kat luar. Tidur elok-elok. Jumpa lagi esok. Kalau dah nak bersalin miau kuat-kuat ya.

Apasal aku cerita pasal kucing ni? Hentahlah. Kucing adalah green button aku. Apa green button tu? Menurut Dr. Fadzilah Kamsah, sesuatu yang kita lihat yang boleh menceriakan hari kita yang suram, maka itulah green button kita.

Jadi, tak reti nak cerita bagaimana nak gambarkan perasaan aku jika ternampak kucing dan haiwan-haiwan lain. Minat pada haiwan menyebabkan kadang-kadang rasa seperti nak kerja di zoo aje.

Lihatlah. Allah takkan jadikan makhluk itu suatu yang sia-sia. Subhanallahi wabihamdih. Subhanallahil azim.

Miaw..

Aku Ingin

Aku ingin lari

Agar dia tidak mengejariku lagi.

Aku ingin menyorok

Agar dia tidak menyogok.

Aku ingin bersembunyi

Agar dia tidak mencari.

Namun dia tetap mencari

Hingga pecah peti ini.

Aku ingin memegang dia

Sampai bila-bila

Aku takut andai dia tiada

Namun aku harus pertahan jua

Mesti menjahit jubah nan indah

Agar segalanya jadi mudah

Dengan izin Allah

Sampai akhir nanti

Aku sentiasa mahukan jalan ini.

Ada Apa Dalam 12

(nombor 12 pada tajuk posting ini tidak ada kena-mengena dengan imam 12 Syiah Rafidhah)

20 Januari 2009, Selasa

Hari berkempen bagi calon-calon pilihanraya kampus. Campus election. Pretty cool huh!

Aku berkempen di AIKOL a.k.a. Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Laws. Vote for Akhi Faisal. Ana aqulu sarahah, kalau aku budak laws tidak ada orang lain yang akan aku undi melainkan Akhi Faisal.

21 Januari 2009, Rabu

Aku berkempen untuk Ain Najwa bt Badrul Amin, atau dikenali sebagai Awe. Dia sahabatku. Walaupun lama tak jumpa dan bertegur sapa, dalam situasi begini jentera-jentera lama mesti muncul untuk membantu.

Jam 6.30, keluar dari kampus menuju ke UIA Nilai untuk Liqa’ pertama. Bukan saya seorang. Kata ikhwah, ada cerita kurang enak mengenai gerakan menghentam salafi di sana. Jadi harus ada pencerahan.

22 Januari 2009, Khamis

Hari mengundi. Tiada kawanku di kuliyyah ini. Jadi perlu memilih antara dua penjuru yang lain. Tapi mahukah aku mengundi penjuru yang telah melemparkan fitnah batu ke atas perjuangan sahabat-sahabatku??

Lagi setengah jam sebelum keputusan keluar- meeting tergempar di bangunan Admin. Betapa PKPIM difitnah dengan kejam pada hematku. Hanya sekadar pilihanraya kampus, mengapa harus memfitnah begitu sekali di dalam buletin "Teropong". Walaupun kau berkenduri atas kemenanganmu, apakah layak dikira sedemikian jika kau wujudkan suasana tidak telus?

Kasihan pada Akhi Saifullah. Esok hari pernikahannya, tapi harus serabut membersihkan nama PKPIM.

Keluar keputusan. Beberapa sahabat menitiskan air mata sedih. Air mata yang keluar atas dasar ukhuwwah yang kukuh. Sekalung tahniah dan takziah buat Fahmi atas kemenangan. Buatlah yang terbaik.

Walaupun aku sudah lama tidak menyertai mereka dalam aktiviti PKPIM, bukanlah bermaksud aku terus membuang PKPIM dalam hidupku. Sahabat tetap sahabat. Jemaah ini pernah berjasa kepadaku. Yang mengajarku erti perjuangan. Yang mengajarku erti ukhuwwah. Aku akan bersepakat dalam urusan yang boleh disepakati. Cuma saat ini aku menjumpai suatu gerakan yang lebih serasi. Jangan salah erti terhadapku.

23 Januari 2009, Jumaat

Barakallahu lak, wa baaraka alaika, wa jama3a bainakuma fi khoir, buat Akhi Saifullah dan Kak Asma yang kedua-duanya aktivis PKPIM. Semoga berbahagia ke akhir hayat.

Akhi Saifullah dan Akhi Faisal tidak mengenaliku. Tapi adakah aku lupa terhadap orang yang bertanggungjawab mempengaruhiku secara tidak langsung untuk membuat minor dalam Political Science? Merekalah orang itu.

Jam 8.30 malam. Bertolak ke Bangi. Menjadi fasilitator Program Kem Solat Remaja Bestari.

24 Januari 2009, Sabtu

Program bermula. Taaruf dan ice breaking. Comel budak-budak itu! Ajarkan mereka tentang aqidah dan bahaya syirik. Agak berat juga bagi mereka.

25 januari 2009, Ahad

Masih di dalam program. Ajarkan mereka sifat solat nabi. Teringat dahulu ketika aku mahu menghafal bacaan tahyat akhir sewaktu usia 9 tahun, mahu saja aku meletakkan buku panduan solat di tempat sujud supaya boleh baca ketika sedang tahyat.

26 Januari 2009, Isnin

Program berakhir jam 12.30 tengahari. Usai zohor dan berkemas, terus pulang ke rumah. Meluangkan masa di rumah hanya sehari setengah.

28 Januari 2009, Rabu.

Masuk kelas Bayan, Critical Thinking, Comparative Politics dan Ulum Hadis, masih dalam mood cuti semester.

29 Januari 2009, Khamis.

Nabighah Az-Zibyani dan Umru’ul Qays, masya Allah. Syair yang begitu hebat balaghahnya. Namun tidak sehebat balaghah Al-Quran.
Tidak sempat turn kumpulan aku untuk presentation Nahu 3. Bersambung Selasa depan.

30 Januari 2009, Jumaat

Midterm Bayan selepas solat Jumaat. 25 markah. Susah dan senang. Alhamdulillah.
Makan nasi goreng dengan Iman di HS café kerana sudah habis tenagaku diserap oleh midterm tadi.

Halaqah riyadhus solihin selepas asar.

8 malam. Mass gathering WAFA. Sedikit briefing untuk ahli biro aku. Tentulah Sport n Rec! Majulah sukan untuk Islam!

9.45- mass gathering berakhir. Terus berkejar ke post mortem Kem Solat. Baru dua minit duduk diminta bercakap mengenai laporan kefasilitatoran kumpulanku. Mengah tak sempat bernafas.

Makan brownies yang dibawa oleh Kak Wani untuk meeting malam itu. Homemade dia buat sendiri. Oiishiii…! (bahasa Jepun bermaksud sedapnya!)

31 Januari 2009, Sabtu.

Kelas debat. Hanya empat orang yang hadir. Lima termasuk ustaz. Geram dengan budak arab. Mereka yang beriya nak buat kelas hari Sabtu. Last-last tak datang. Kelas habis awal.

Balik rumah ada hal.

Kakyong balik n jumpa Adlina. Dah makin besar. Makin banyak cakapnya. Kura-kura tak sihat. Asyik tidur je.

Selepas maghrib. Tak boleh lama-lama di rumah, walaupun sedih nak balik. Terus balik UIA untuk prepare untuk beberapa midterm dan presentation.

Sekarang ada hobi baru. Main chess! Sudah bertahun-tahun tak main, bolehla!

1 Februari 2009, Ahad

Aku di hadapan laptop. Menaip untuk bermuhasabah apa yang telah kulakukan sepanjang 12 hari yang lalu.

Ya Allah, aku mohon ampun daripadaMu. Aku harapkan rahmatMu dan aku takut akan azabMu.