Jalan lurus harus dicari. Bukan hanya menanti agar ia datang kepada kita. Cuba bayangkan kita pergi bercamping di hutan belantara yang tebal untuk tujuan pembelajaran. Tiba-tiba tanpa kita sedari, kita dah pun tertinggal dan terlepas daripada ahli kumpulan kita, kerana sibuk dan asyik melihat pemandangan sekeliling yang indah nian. Apalagi, menangislah kita seorang diri bayang rakan-rakan dah tak nampak, suara pun dah hilang. Siapa yang tak cuak bila hari dah semakin gelap, tetapi peralatan yang kita ada tidak cukup sempurna untuk menghadapi apa-apa kemungkinan. Maka, menjerit lah kita sekuat hati memanggil nama raka-rakan. Hidupkan api agar asapnya dapat menarik perhatian mereka. Dalam masa yang sama kita memerhati keadaan sekeliling dan sentiasa alert dengan situasi yang berbahaya iaitu ancaman binatang buas, serangga berbahaya dan sebagainya. Menjerit dan terus menjerit. Api semakin dimarakkan.
Begitulah kehidupan dunia jika nak dibandingkan dengan situasi di atas. Kenapa dalam kisah itu kita tak putus-putus mencari jalan pulang? Tentulah dengan sebab untuk kembali ke rumah dengan selamat. Kita tak mungkin mahu berada dalam hutan belantara yang penuh bahaya itu selamanya. Samalah jua kita ini sebagai pengembara dunia yang memerlukan bimbingan untuk kembali ke jalan yang benar. Kita mestilah sentiasa berusaha agar kita ini berada di landasan yang sebenar. Landasan yang bisa membawa kita kembali ke satu destinasi atau stesen terakhir seluruh kehidupan. Semua orang akan sampai jua ke destinasi ini. Tetapi destinasi seperti apakah yang kita mahukan? Tentulah destinasi ketenangan abadi. Berdoalah agar kita selalu berjalan di jalan yang benar. Bukan jalan yang bersimpang-siur yang membawa ke destinasi yang penuh penyesalan.
Tetapi sungguh menghairankan apabila terjadi di kalangan manusia. Mereka melakukan kejahatan dan maksiat secara berterusan. Bukan tak tahu itu adalah jalan yang sesat, cuma malas untuk kembali ke jalan sebenar. Mengapa jika tersesat di dalam hutan kita berusaha mencari jalan pulang, tetapi apabila tersesat di dunia kita tidak mahu keluar dari belenggu itu? Sesungguhnya amat merugikan bagi sesiapa yang tergolong dalam kategori ini. Tidakkah mereka tahu bahawa kita semakin kesuntukan masa? Banyak lagi yang perlu dibereskan dalam waktu yang cukup genting. Apa yang nak dikata kalau tiba-tiba sahaja Allah menjemput kembali ke alam barzakh? Sedang kita masih belum cukup bekalan nak dibawa pulang. Mahukah kita diseksa dengan azab yang pedih? Mahukah kita termasuk dalam golongan yang melolong-lolong menghamburkan kesakitan dan kepedihan yang tiada taranya itu?
Jadi, ikhwah dan ahkawat sekalian, saya menyeru kepada anda dan diri sendiri agar selalu menjaga anugerah terhebat yang telah Allah S.W.T kurniakan kepada kita iaitu nikmat Iman dan Islam. Manusia secara fitrahnya memang dilahirkan dalam Islam. Bersyukurlah kerana kita dicorakkan dengan menggunakan pena dan warna Islam. Dan kita diterapkan dengan ilmu Islam sedari usia yang sangat muda. Walaupun tak semua begitu, tetapi apabila lepas daripada umur baligh, keputusan berada dalam tangan kita. Samada mahu ikut atau tidak. Beruntung bagi sesiapa yang mahu mengikut jejak, dan sesiapa yang memalingkan diri, doakan agar mereka kembali. Jalan sudah pun terbentang. Peringatan sudah pun diberi. Pilihan-pilihan sedia menanti. Maka mengapa harus pilih yang buruk?
Sungguhpun begitu, dalam menghadapi tribulasi dan ancaman dunia di hujung waktu, bukanlah mudah bagi kita untuk menangkis godaan dan cabaran. Ujian datang bertimpa-timpa. Jalan kesesatan terbuka seluas-luasnya di hadapan mata. Oleh itu, kita sebagai manusia, remaja khususnya tidak dapat tidak untuk mempersiap-siagakan diri lebih-lebih lagi dengan ilmu pengetahuan. Ilmu agama yang dipelajari mestilah di upgrade kan dalam erti kata ilu yang benar. Dasawarsa ini terlalu banyak ilmu agama yang diselewengkan.
Jadi kembalilah kita kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Rasulullah s.a.w. telah pun memberi jaminan dalahm hal ini bahawasanya kita tidak akan sesat selama-lamanya jika berpegang kepada keduanya. Ikuti baginda dan Khulafa’ Ar-Rasyidin yang diberi hidayah. Insya Allah dengan rahmat dan belasNya kita sangat-sangat berharap untuk masuk ke dalam jannahNya.. Robbana aatina fid dunya hasanah, wa fil aakhirati hasanah, wa qina azabannaar..!
Subscribe to:
Posts (Atom)