Harus Berpisah Atau Mahu Ingkar?


1- “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa” (An-Nisa: 36)

Saya telah kalah.

2- “Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa” (HR At-Tirmizi)

Sekali lagi saya kalah.

3- Abdullah Ibn ‘Amr radhiallahu anhu menerangkan bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dan berkata, “Sesungguhnya aku datang untuk memberi taat setia (bai’ah) kepada engkau untuk berhijrah, akan tetapi aku meninggalkan kedua orang tuaku dalam keadaan menangis.” Rasulullah sallallahu alaihi wasallam berkata kepadanya:

“Kembalilah kepada mereka berdua dan jadikanlah mereka berdua ketawa(gembirakanlah mereka) sebagaimana kamu jadikan mereka menangis. (HR An-Nasa’i)

Saya bertambah kalah.

4- Abu Sa’id Al-Khudri radhiallahu anhu berkata:

“Sesungguhnya seorang lelaki dari Yaman telah berhijrah kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam untuk berjihad lalu baginda bertanya: “ Adakah kamu mempunyai seseorang di Yaman?” Dia menjawab:”Ibu bapaku”. Rasulullah bertanya: “Adakah mereka memberi izin kepada engkau?” Dia menjawab: “ Tidak”

Rasulullah bersabda: “Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah izin dari mereka berdua. Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah akan tetapi jika tidak, maka berbuat baiklah kepada mereka berdua.” (HR Abu Daud).

6- Abd Allah Ibn Umar radhiallahu anhu berkata:

“Aku pernah memiliki seorang isteri yang sangat aku cintai akan tetapi Umar(bin Al-Khattab, yakni ayahnya) tidak menyukainya dan menyuruh aku menceraikannya. Namun aku enggan. Maka Umar membawa hal ini kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dan menceritakan apa yang berlaku. Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab( kepada Abd Allah bin Umar): “ Ceraikanlah dia” (HR Abu Daud)

(hadis-hadis dipetik dari buku "Wahai Ibu Wahai Ayah", tulisan Kapten Hafiz Firdaus terbitan Jahabersa)


Mengenangkan hadis-hadis kisah para sahabat di atas menjadikan hati saya sangat luluh. Mereka taat kepada Nabi Sallallahu alaihi Wasallam dan baginda mengarahkan mereka taat kepada orang tua. Hatta dalam perbuatan yang paling besar ganjarannya di sisi Allah iaitu berhijrah dan berperang. Jika orang tua tidak redha, maka baginda arahkan mereka pulang.

Hatta, sekiranya orang tua tidak berkenan dengan pasangan kita sekalipun kita wajib mentaati. Betapa sebaknya hati, namun tetaplah taat kepada orang tua. Di situ letaknya redha Allah.

Saya telah kalah dengan kisah-kisah di atas.

Perintah wajib telah mengalahkan tuntutan yang tidak wajib. Wajarkah saya terus melaksanakan amalan yang tidak wajib itu, tapi dalam masa yang sama saya telah membelakangi bonda?

Saya tidak sanggup menanggung kemurkaan Allah.

Sekelumit saya tidak salahkan bonda. Sungguhpun semalaman berendam air mata, saya faham bonda risaukan masa depan saya. Kerana dia sudah banyak melihat realiti. Siapalah saya untuk mengingkari bonda? Siapalah saya untuk berhujah dengannya kerana dia adalah bonda. Bonda yang jika saya usungnya di atas pundak menunaikan haji seperti kisah seorang sahabat, pasti tetap tidak mampu membalas jasa bonda seumur hidup.

Ya Allah, ampunilah dosaku dan kedua ibu bapaku. Kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku ketika aku masih kecil..

0 kata-kata mereka: